Tuesday, 16 August 2011
Sedekah Jariah Mengelakkan Muflis Di Akhirat
Sekali lagi saya kagum dengan
masyarakat setempat. Pengumuman Pengerusi Masjid tentang kutipan derma
menyapa lubuk hati saya tentang usaha membantu mereka yang kurang
bernasib baik oleh insan-insan yang berserah diri kepada Allah SWT.
Malam ini kami diberitahu kutipan untuk sebuah rumah anak-anak yatim di
Bukit Beruntung menjana RM2,900 dan derma ibu-ibu tunggal adalah
RM3,300.
Fuhh..sungguh murah hati mereka
yang tidak henti-henti memberikan sumbangan hampir setiap hari sejak
dari 1 Ramadhan. Bahkan, inilah acara tahunan penduduk setempat di sini.
Esok, lusa dan hari-hari berikutnya telah diaturkan kunjungan dari
pelbagai pihak dalam dan luar negara seperti NGO dan individu dari
Gaza, Palestin.
Siapalah saya sebagai seorang
pendidik cabuk hendak menderma dengan banyaknya setiap hari jika nak
dibanding dengan jumlah kutipan terkumpul sehingga hari
ini...Sebenarnya, ayat saya ini adalah satu kesilapan besar
yang sering dilakukan di kalangan masyarakat yang tidak bernasib baik
yang tidak memiliki wang melimpah ruah. Dahulu kala, saya juga
berperasaan liat @ susah untuk mengeluarkan harta untuk membantu mereka
yang susah kerana berapa lah gaji yang diterima...nak bayar hutang pun
pening kepala. Namun, kita harus ingat akan janji Allah yang tidak akan
mengurangkan harta kita jika bersedekah. Kita tidak akan miskin jika
bersedekah. Penceramah-penceramah di Masjid Bukit Jelutong selalu
berkata mereka tidak pernah dengar orang jatuh muflis (atau miskin)
akibat dari bersedekah. Malahan, ramai yang bertambah kaya.
Nabi SAW telah bersabda di dalam
banyak hadis-hadis yang diriwayatkan bahawa sedekah/infaq boleh jadi di
dalam pelbagai bentuk dan skala (jumlah). Jika kita tidak memiliki wang
yang banyak atau sedikit, cukuplah bersedekah dengan membelah kurma dan
separuh darinya disedekahkan kepada orang lain. Jika tidak memiliki
kurma, bersedekahlah dengan tenaga melalui menolong orang lain seperti
membantu mengangkat barang, membantu orang buta atau orang tua melintas
jalan. Ataupun, bersedekah ilmu dengan cara mengajar orang lain walau
pun dengan sepatah perkataan. Ini mungkin cara yang sesuai bagi para
pelajar yang masih belum mampu menjana pendapatan sendiri. Saya tertarik
dengan laporan akhbar baru-baru ini, di mana, seorang hamba Allah di
Bandaraya Melaka telah mencetak ayat-ayat nasihat dan mengedarkannya di
rumah-rumah dan premis-premis sekitar kawasan kediamannya. Ini juga satu
idea kreatif untuk bersedekah. Juga, saya berpendapat adalah tidak
mustahil untuk kita bersedekah sebanyak 50 sen ke dalam 'tong' kutipan
masjid atau di mana-mana tempat yang membuat kutipan. Jika tidak mampu
juga, masukkanlah 10 sen secara berkala. 365 hari x 10 sen =
RM36.50...banyak juga tu. Atau, 10 sen seminggu pun jadilah.
Kita harus ingat bahawa di akhirat kelak ramai orang akan muflis apabila
dihisab. Amalnya tak cukup...sedekahnya pun sedikit... anak pun tidak
mendoakannya... Adakah anda yakin anak anda akan mendoakan anda apabila
tubuh menjadi jenazah? Zaman moden yang melalaikan kini penuh dengan
pelbagai jenis hiburan seperti nyanyian, berdansa, lawak jenaka,
cerita-cerita/drama/box office movie dan sebagainya. Ini akan
menghanyutkan mereka di arus zaman. Anda sendiri... berapa kerap anda
berdoa untuk ibu bapa anda? Penceramah di tempat saya pernah berkata
sebaik sahaja kita meninggal dunia, anak-anak mula menghitung duit yang
ditinggalkan di bank dan lain-lain harta. Paling tidak di dalam
pemikiran dan benak hati mereka. Kesian jenazah.
Salah satu cara untuk mengelak
dari muflis di akhirat kelak ialah melalui amalan bersedekah. Selalulah
bersedekah di dalam pelbagai bentuk jenis sedekah. Ramai di kalangan
kita hanya takut muflis di dunia dan telah lalai atau lupa tentang
muflis di akhirat. Ingatan ini adalah untuk saya dan semua yang bersedia
untuk membuka minda. Fikir-fikirkanlah....
Wallah hu Alam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar