HURAIAN HADIS SEDEKAH JARIAH (2)
Kefahaman
tentang sedekah jariah itu bukan setakat dengan harta benda tetapi
termasuk menunjukkan jalan hidayat dan ilmu yang berguna yang diajarkan
kepada orang lain. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَفْضَلُ
الصَّدَقَةِ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْمَرْءُ الْمُسْلِمُ عِلْمًا ثُمَّ
يُعَلِّمَهُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ
Daripada
Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik sedekah
ialah seseorang muslim itu mempelajari satu ilmu kemudian mengajarkannya
kepada saudaranya yang muslim.[1]
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ
رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَحَثَّ
عَلَيْهِ فَقَالَ رَجُلٌ عِنْدِي كَذَا وَكَذَا قَالَ فَمَا بَقِيَ فِي
الْمَجْلِسِ رَجُلٌ إِلَّا تَصَدَّقَ عَلَيْهِ بِمَا قَلَّ أَوْ كَثُرَ
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ اسْتَنَّ
خَيْرًا فَاسْتُنَّ بِهِ كَانَ لَهُ أَجْرُهُ كَامِلًا وَمِنْ أُجُورِ
مَنْ اسْتَنَّ بِهِ وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ
اسْتَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَاسْتُنَّ بِهِ فَعَلَيْهِ وِزْرُهُ كَامِلًا
وَمِنْ أَوْزَارِ الَّذِي اسْتَنَّ بِهِ وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا
Daripada
Abu Hurairah katanya seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah
s.a.w. lalu baginda menggalakkan para sahabat supaya bersedekah kepada
lelaki itu. Lalu seorang lelaki berkata saya mempunyai sekian banyak
harta. Abu Hurairah menyebutkan lagi, tidak ada seorang lelaki pun dalam
majlis melainkan bersedekah kepada lelaki itu, dengan banyak ataupun
sedikit. Melihatkan keadaan begini Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa
merintis kepada kebaikan lalu diikuti oleh orang lain, maka dia
memperolehi pahalanya dengan sempurna dan pahala orang-orang yang
menurutinya tanpa mengurangkan pahala-pahala mereka dan sesiapa yang
merintis kepada kejahatan lalu diikuti maka dia menanggung dosanya
dengan sepenuhnya dan dosa-dosa mereka yang mengikutinya tanpa dikurangi
dosa mereka itu sedikitpun.” [2]
عَنْ
أَنَس بْن مَالِك، عَنْ رَسُول اللَّه صَلى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَمْ؛
أَنَّهُ قَالَ: أيّما داعٍ دعا إِلَى ضَلالةٍ فاتبع، فإنَّ لَهُ مثلَ
أوزارِ من اتّبعه ولا يَنقُصُ ِمن أوزارهم شَيْئاً. وأيّما داعٍ دعا إِلَى
هُدى فاتُّبِعَ، فإنّ لَهُ مثلَ أجورِ مَنْ اتَّبَعَهُ، ولا يَنْقُصُ
ذَلِكَ مِنْ أُجُوْرِهمْ شَيْئاً.
Daripada Anas bin Malik daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda telah bersabda: “Mana-mana
penyeru kepada kesesatan lalu ia diikuti maka dia memperolehi dosa
seperti dosa-dosa sekalian orang yang mengikutinya tanpa kurang
sedikitpun daripada dosa-dosa mereka. Mana-mana penyeru kepada petunjuk
lalu ia diikuti maka dia memperolehi pahala seperti pahala-pahala
sekalian orang yang mengikutinya tanpa kurang sedikitpun daripada
pahala-pahala mereka.[3]
عَنْ كَثِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ سَمِعْتُ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَحْيَا
سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي قَدْ أُمِيتَتْ بَعْدِي فَإِنَّ لَهُ مِنْ
الْأَجْرِ مِثْلَ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ النَّاسِ لَا يَنْقُصُ
مِنْ أُجُورِ النَّاسِ شَيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً لَا يَرْضَاهَا
اللَّهُ وَرَسُولُهُ فَإِنَّ عَلَيْهِ مِثْلَ إِثْمِ مَنْ عَمِلَ بِهَا
مِنْ النَّاسِ لَا يَنْقُصُ مِنْ آثَامِ النَّاسِ شَيْئًا
Daripada
Kathir bin Abdullah daripada bapanya daripada datuknya katanya saya
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan salah
satu sunnahku yang telah dimatikan selepasku, maka dia memperolehi
ganjaran seperti orang yang beramal dengannya tanpa kurang sedikitpun
daripada amalan mereka. Sesiapa yang mengadakan bid’ah yang tidak
diredhai Allah dan Rasul-Nya maka dia menanggung dosa seperti dosa orang
yang mengamalkannya tanpa kurang sedikitpun amalan mereka.[4]
Daripada
hadis-hadis atas, dapat kita mengambil pengajaran bahawa kita mestilah
mengutamakan amalan-amalan yang menjamin pahala yang berterusan kepada
kita walaupun kita telah meninggal dunia. Dengan amalan sebegini tidak
perlu mengharapkan sebarang kiriman pahala yang tidak pasti
kedudukannya sama ada sampai pahalanya kepada si mati atau tidak.
Amalan
yang menjamin pahala yang berterusan mempunyai nilai yang istimewa
kerana ia mendatangkan faedah dan manfaat yang berpanjangan kepada
masyarakat. Kesan baik daripadanya ialah amalan itu tetap dikenang oleh
sesiapa sahaja yang mendapat manfaat daripada harta yang diwakafkan.
Hal yang sama juga ada pada ilmu yang berguna yang dapat memandu
masyarakat ke arah kehidupan yang bahagia dan sejahtera.[5]
Untuk
mewakafkan harta tidak semestinya seseorang itu kaya dan mempunyai
harta yang bertimbun dan tanah yang beratus ekar. Seringgit yang
dibelanjakan untuk mendirikan masjid atau pusat ilmu amat bermakna
dengan syarat ia diberikan dengan penuh keikhlasan. Alangkah besarnya
kurniaan Allah seperti yang difirmankan-Nya:
مَثَلُ
الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ
حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ
وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Perumpamaan
(nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya
di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan
tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai: seratus biji. Allah melipat
gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas
(kurnian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 261)
لِمِثْلِ هَذَا فَلْيَعْمَلِ الْعَامِلُون
Untuk
memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang
beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia). (al-Saffat: 61)
Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net
Tidak ada komentar:
Posting Komentar